Rabu, 15 September 2010

IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Hari ini hari yang keenam di dalam bulan Syawal. Tentunya suasana hari raya masih lagi terasa. Bagaimanapun bagi perantau sudah ramai yang berangkat pulang menuju ke kota masing-masing demi meneruskan tugas dan mencari rezeki. Bagi yang masih bercuti selamat bercuti diucapkan.Bagi suri rumah mungkin anda sekarang sedang sibuk mengemas ruang tamu atau dapur yang masih berselerak. Maklumlah sanak saudara dan jiran tetangga masih berkunjungan sempena Aidil fitri yang hanya setahun sekali menjelma ini. Kepada suri rumah yang tidak tahu hendak memasak apa hari ini, mungkin resepi ikan patin masak tempoyak ini di bawah ini boleh dicuba. Menu ini amat terkenal dikalangan masyarakat yang berada di negeri Pahang :



Bahan-bahan :

1 ekor ikan patin ( dipotong dan dibersihkan )
4 sudu besar tempoyak di dalam periuk.
10 biji cili padi } (dikisar) A
3cm kunyit hidup } (dikisar)A
3 batang serai (diketuk)
3 batang bunga kantan (dihiris)
5 helai daun kesum.
2 cawan air
Garam, minyak masak dan gula.


Cara membuatnya :

1. Panaskan sedikit minyak masak dalam periuk.Tumiskan bahan (A). Kacau seketika.
2. Masukkan serai, bunga kantan dan daun kesum.
3. Kemudian masukkan air, tempoyak dan ikan patin.
4. Apabila mendidih, masukkan garam dan gula secukupnya. Masak lagi hingga pekat.

Selamat mencuba ye puan-puan.